UntukMu, Yasmin
Genapnya satu tahun aku mengenalinya.
Penemuan, terakhir…
Pertama kali aku bertemu dengan dia, senyuman lesung pipit dipipinya masih kekal dimemoriku. Dia datang menghampiri aku setelah menemui dua buah buku diKinokuniya yang ingin dibaca. Matanya mencuri pandangan, suaranya terus membisu. Senyumannya bagaikan lirik untuk sebuah lagu, sebuah cerita yang aku sendiri tidak mampu berbicara. Aku, takut setelah merasai degupan dan bisikkan hatinya. Aku ingin keluar dari tempat itu, tetapi teman sekerja masih memilih Qur’aan ditangannya, antara biru dan merah, yang mana satu keinginannya buat masa itu. Buat kali kedua, pandangan dicuri, aku menangkap perasaan hatinya yang repuh, yang rindu, ingin kepada hidup kekal abadi. Itulah pertama kali aku bertemu dengan dia, senyuman lesung pipit dipipinya.
Dia berani – tidak pernah tahu makna lesu, kalah dan malu. Dia berani sekali kerana telah bertemu dengan rahasia yang paling indah sekali, yang kurang dicapai dan disegani manusia biasa. Dia berani sungguh, kalau disuruh merentasi langit untuk menghiasi lelangit-langit hati ibunya, dia sanggup membintanginya dengan warnawarni yang tidak mudah pudar atau kusut, dengan berlian-berlian nuruunalanuur yang paling sukar ditemu didunia ini. Hidupnya didua alam. Dia memahami keperitan kata-kata yang dilontarkan bagai batu-batu yang senang dilontarkan kepadanya dari khayalak mereka yang mengaku sebangsa, dan seagama. Yang tidak memahami, yang takut akan hidup, masih membuta, masih jahil akan kepastian haqiqi. Dia yang tidak takut akan hidup, tidak takut akan mati, kerana disaat-saat akhirnya kembali kepada azali, senyuman lesung pipit dipipinya menyenangkan wajah, menyejukkan hati mereka yang bersamanya.
Dia berbicara dengan teman sekerjanya, sambil melihat kearah aku. Dia membisik nombor bimbitnya dengan jelas sekali, pertama, kedua, dan ketiga kali.. sebagai seorang teman yang ingin akan kepastian tetapi pada masa itu aku bertanya kepada diri yang tidak berdiri bukan dia yang ingin kepada mati – tidak harus yang bersenyuman lesung pipit dipipinya, yang disegani rumpun-rumpun dunia ini, ingin kepada mati. Untuk hidup, seseorang itu harus ingin kepada mati dengan penuh rindu bagaikan ombak merindui pantai, bagai malam merindui siang. Apakah dia yang ingin kepada hidup kekal tahu akan mati. Dia berani – tidak pernah tahu makna lesu, kalah dan malu. Dia berani sekali kerana telah bertemu dengan rahasia yang paling indah sekali, yang kurang dicapai dan disegani manusia biasa mahupun mereka yang mengaku sumpah dikhayalak ramai bersaksi Illahi tetapi hati gelap-pekat bagaikan siang yang tidak pernah berbulan.
Kini… disana, dia terus hidup walaupun setiap malam selepas kekasih-kekasihnya antara yang akrab mahupun yang jauh, membibirkan surah yasiin, mahupun doa kepada tuhan-tuhan yang diagungagungkan, dia akan terus hidup kerana dia ingin sungguh kembali kepada nur azali. Mereka yang masih disini, ada antara satu, dan dua… tiga puluh delapan dan seribu sebelas masih gerun bila disebut akan mati – tetapi hatinya sudah terpaut dengan cinta kepada rahasia yang paling indah sekali, yang kurang dicapai dan disegani manusia biasa.
Dia mengenali hidup buat pertama kali, dan tidak segan langsung berteman di-alam yang paling indah dihijabi manusia biasa antara timur dan barat. Dia telah kembali untuk hidup kekal abadi. Genapnya satu tahun aku mengenalinya. Pertama kali aku bertemu dengan dia, senyuman lesung pipit dipipinya masih kekal dimemoriku.























